JAKARTA, 19 DIS – Banjir kilat di daerah Tapanuli Selatan, wilayah Sumatera Utara, petang kelmarin mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Hujan lebat mencetuskan banjir kira-kira 7 malam, menjejaskan dua mukim iaitu Batang Angkola dan Tano Tombangan.
“Laporan menunjukkan bekalan elektrik telah terputus di kawasan terjejas dan paras air surut secara beransur-ansur,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat 10:40 malam pada hari yang sama, pihak berkuasa melaporkan sebanyak 495 keluarga terjejas, dengan 250 orang berlindung di tiga pusat pemindahan di Simaninggir, Kota Tua dan Istana Hasadaon Kota.
Menurut Abdul Muhari, sebanyak 495 rumah rosak, dengan lumpur setebal 50 sentimeter meliputi beberapa kawasan. Usaha pembersihan sedang dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan penduduk.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Tapanuli Selatan sedang menyelaras dengan daerah tempatan untuk membantu mangsa terjejas dan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir seterusnya. – Bernama


