Monday, January 20, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 cedera dalam rempuhan motosikal

    CALIFORNIA, 9 DIS – Kira-kira 10 orang cedera selepas seorang pegawai trafik polis yang menaiki motosikal merempuh orang ramai dalam perarakan cuti hujung minggu di Palm Springs, California, kata pihak berkuasa.

    Kesemua yang cedera dibawa ke hospital Sabtu lalu untuk diberikan rawatan termasuk pegawai itu, menurut polis.

    Saksi memberitahu akhbar The Desert Sun bahawa pegawai itu sedang melakukan wheelie pada motosikalnya dan kemudiannya hilang kawalan.

    Motosikal itu meluncur masuk ke dalam kerumunan penonton dan menyebabkan acara perayaan itu terhenti selama lebih sejam.

    Pihak berkuasa berkata beberapa anggota kecemasan yang menyertai perarakan itu membantu mangsa yang cedera, termasuk kru ambulans dan trak bomba yang masih dihiasi dengan lampu percutian.

    Nahas berlaku sekitar jam 6 petang ketika orang ramai berkumpul untuk menyaksikan Perarakan Cahaya Festival Palm Springs tahunan ke-32 yang biasanya menarik antara 80,000 dan 100,000 penonton.

    “Saya berasa amat sedih dengan kemalangan dan kecederaan kepada orang yang kami lindungi,” kata Ketua Polis Palm Springs Andy Mills di Facebook.

    Pegawai bandar berkata, Peronda Lebuhraya California sedang menyiasat nahas itu dan mencari sebarang video saksi. – AP

    Pegawai Peronda Lebuhraya California memulakan penyiasatan ke atas tempat kejadian di Palm Springs, California pada 7 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda