TOKYO, 31 OKT – Seorang lelaki ditangkap atas cubaan membunuh selepas melakukan serangan pisau dan menyalakan api dalam sebuah kereta api di Tokyo hari ini, kata media Jepun, dengan kira-kira 10 orang dilaporkan cedera dan seorang dalam keadaan parah.
Klip video yang disiarkan oleh penyiaran awam NHK menunjukkan para penumpang berlarian dalam kereta api ketika asap mulai memenuhi ruang gerabak, dengan api juga kelihatan.
Sebuah video yang disiarkan dalam Twitter menunjukkan orang ramai memanjat melalui tingkap untuk melarikan diri dari kereta api Keio Line di sebuah stesen. Pegawai syarikat kereta api berkata perkhidmatan itu dihentikan sementara selepas ‘satu insiden melibatkan kecederaan’ berlaku sekitar jam 8 malam dekat Kokuryo di sub bandar barat bandar Jepun.
Media-media lain termasuk NHK berkata suspek yang dipercayai berusia 20an telah menyerang orang ramai menggunakan sebilah pisau dan mencetuskan kebakaran dalam kereta api.
Kaedah kebakaran tidak jelas tetapi laporan juga menyatakan lelaki itu juga menuang cecair di sekitar gerabak kereta api. Kyodo News hari ini berkata, 15 orang cedera dalam serangan itu, dengan NHK melaporkan sekitar 10 orang cedera dengan seorang lelaki berusia dalam 60an dalam keadaan parah.
“Mula-mula, saya ingat ia adalah acara seperti Halloween. Tetapi saya lari setelah seorang lelaki membawa pisau panjang muncul. Saya sangat bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan,” kata seorang lelaki berusia dalam 20an yang berada dalam kereta api itu memberitahu NHK.
Para pegawai polis tempatan tidak dapat dihubungi untuk memberi komen. – AFP
