Sunday, February 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 ditangkap terlibat pembuangan sisa toksik haram

    ZAGREB, 16 FEB – Croatia telah menangkap 10 individu yang disyaki membuang sisa toksik secara haram sekurang-kurangnya 35,000 tan dari sumber tempatan dan negara-negara Kesatuan Eropah yang lain, kata pihak berkuasa pada Jumaat lalu.

    Seramai 10 suspek dan empat syarikat sedang disiasat atas “kesalahan jenayah serius terhadap alam sekitar, pemalsuan dokumen, pengelakan cukai dan penggubahan wang haram, semuanya dalam sebuah persatuan jenayah,” kata Pejabat untuk Pembanterasan Rasuah dan Jenayah Terancang (USKOK).

    Kesemua 10 suspek ditangkap pada Khamis lalu di ibu negara Zagreb dan beberapa bandar lain, menurut kenyataan tersebut.

    Suspek dipercayai telah membuang lebih daripada 35,000 tan sisa di beberapa lokasi di Croatia, kata pegawai polis Ivica Kropek dalam satu sidang media.

    Kropek juga menyatakan bahawa jenayah yang didakwa berlaku antara 2022 dan 2024.

    Gambar AFP

    Suspek dikatakan telah mengimport sisa plastik dari negara EU lain dan menerima sisa perubatan dari Croatia. Sisa-sisa tersebut kemudian ditanam atau dibuang begitu sahaja.

    USKOK berkata pembuangan tersebut telah menyebabkan kerosakan ekologi yang besar di Croatia yang memerlukan kos tinggi untuk diperbaiki.

    Secara berasingan, agensi penguatkuasaan undang-undang Eropah, Europol, menyatakan pihak berkuasa Croatia telah menangkap 13 orang yang disyaki terlibat dalam rangkaian jenayah alam sekitar.

    Dua suspek utama dipercayai “telah mengaturkan pengimportan haram sisa toksik dari Itali, Slovenia dan Jerman ke Croatia,” kata Europol.

    Siasatan mendapati sekurang-kurangnya 35,000 tan sisa telah dibuang secara haram di sekurang-kurangnya tiga lokasi dan suspek dipercayai telah mengaut sekurang-kurangnya AS$4.2 juta. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda