Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Seramai 10 ejen pelancongan golf dari Hong Kong, Thailand, Taipei dan Singapura berpeluang untuk mengadakan lawatan pengenalan ke Negara Brunei Darussalam bermula 23 hingga 28 Februari.
Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa lawatan pengenalan yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan dikendalikan dengan kerjasama daripada pihak-pihak berkepentingan pelancongan utama termasuk Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), agensi-agensi pelancongan serta penyedia penginapan.
Semasa lawatan berkenaan, para ejan pelancongan berpeluang untuk mencuba sendiri beberapa buah padang golf terkenal di dalam negara termasuk The Empire Golf & Country Club yang diperbaharui dan Royal Brunei Golf & Country Club yang berprestij, Kelab Golf RB serta Kelab Golf Pantai Mentiri.
Acara kemuncak bagi lawatan berkenaan merupakan penganjuran kejohanan mini di mana para peserta berpeluang untuk bertanding bagi melengkapkan pusing 18 lubang dengan pemain-pemain tempatan, di samping memberikan mereka peluang merasai pengalaman bermain dalam landskap golf luar biasa Brunei yang tenang.
Selain daripada aktiviti bermain golf, ejen-ejen pelancongan tersebut juga berpeluang untuk meneroka pemandangan semula jadi dan kebudayaan Brunei menerusi lawatan bandar berpandu, di mana mereka menerokai mercu tanda negara ikonik serta menikmati hidangan tradisional Brunei di restoran-restoran tempatan.
Kumpulan ejen pelancongan berkenaan juga mengadakan lawatan ke Kampong Ayer dan menyelusuri kawasan bakau bagi menyaksikan monyet bangkatan. Kumpulan itu turut mengadakan lawaran ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, memberikan mereka sekilas pandang ke dalam budaya tempatan mantap dan sejarah kaya Brunei.
Statistik pelancongan menunjukkan tarikan Brunei yang meningkat di kalangan pelancong-pelancong dari Hong Kong, Thailand, Taipei dan Singapura. Sehingga Disember 2024, jumlah pelawat dari rantau-rantau berkenaan telah meningkat daripada 20,801 kepada 43,274 secara kumulatif berbanding dengan tahun sebelumnya.
