BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Seramai 10 orang kakitangan Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei, melalui Kelab Rekreasi Bank StanChart (SCBRC), telah mengikuti aktiviti plogging di Bukit Sipatir dengan tujuan mempromosikan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta kesejahteraan pekerja.
Aktiviti bermula di salah satu titik akses yang curam dan melalui laluan berhutan, mengumpulkan sampah seperti botol plastik, pembalut dan barang-barang buangan lain.
Usaha itu telah berjaya mengumpulkan enam beg penuh sampah yang kemudian dibawa turun untuk dilupuskan dengan cara yang betul.
Aktiviti dijalankan dengan tujuan bagi mencerminkan komitmen pihak bank terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial, dengan menggalakkan kakitangan untuk menjadi sukarelawan dalam inisiatif yang menyumbang kepada komuniti tempatan dan alam sekitar.
Memetik kenyataan daripada Pengerusi SCBRC, Dayangku Sri Zarith Zarina binti Pengiran Haji Mohamed, beliau menyatakan, “Aktiviti ini mencerminkan nilai-nilai kerjasama, tanggungjawab dan penjagaan alam sekitar. Kami berbangga menyokong inisiatif bermakna yang mempromosikan kesedaran alam sekitar serta penglibatan staf melalui pendorong utama bank iaitu sukarelawan pekerja.”
Aktiviti itu adalah sebahagian daripada siri program sukarelawan, kesejahteraan dan fokus komuniti yang dianjurkan sepanjang tahun.


