GEORGE TOWN, 15 OGOS – Sebanyak 10 kapal tentera laut ASEAN tiba di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT) di sini hari ini, bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Kesemuanya melibatkan tujuh kapal perang tentera laut ASEAN dan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan keseluruhan kira-kira 1,600 warga kapal.
Tinjauan Bernama mendapati tiga kapal perang TLDM iaitu KD Kedah sepanjang 91 meter (m), KD Lekiu (106.5m) dan KD Lekir (98m) mendahului ketibaan kapal lain di SPCT.
Seterusnya kapal perang tentera laut dari Singapura iaitu RSS Vigour, UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar), BRP Antonio Luna (Filipina), KRI Bung Tomo (Indonesia), VPNS Quang Trang (Vietnam), HTMS Krabi (Thailand) dan KPD Darulaman dari Brunei.
Kapal-kapal berkenaan berlabuh di SPCT dari 9:15 pagi hingga 1:45 tengah hari dan disambut dengan tradisi ketenteraan dan delegasi TLDM serta diiringi persembahan pancaragam.
Tinjauan di kawasan Padang Kota yang terletak kurang 200m dari SPCT mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat armada tersebut termasuk merakamkan detik ketibaan aset tentera laut negara-negara ASEAN itu.
Kapal-kapal berkenaan juga dibuka untuk lawatan umum pada Ahad ini iaitu pengunjung berpeluang menaiki kapal dan melihat sendiri keupayaan serta teknologi digunakan angkatan tentera laut serantau.
Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM dari 15 hingga 22 Ogos, melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Acara berkenaan ialah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR) yang akan berlangsung di sekitar George Town dan Batu Ferringhi, yang turut membuka ruang keterlibatan masyarakat awam. – Bernama









