Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Selain mengejar kejayaan di atas padang, Wijaya FC turut melakukan kerja-kerja amal di luar padang dengan menyerahkan bantuan barangan keperluan asas kepada 10 buah keluarga anak yatim di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor Mengkubau, kelmarin.
Majlis penyerahan sumbangan di kediaman keluarga anak-anak yatim tersebut telah disertai oleh anggota skuad Wijaya FC yang terdiri daripada jurulatih, pihak pengurusan dan para pemainnya.
Rombongan diketuai oleh Ketua Jurulatih, Awang Zulkefly Duraman dan turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan ialah Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung RPN Panchor Mengkubau, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat dan beberapa ahli jawatankuasa sukarelawan kampung berkenaan.
Bulan Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan yang bukan sahaja diisi dengan aktiviti keagamaan malah turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan agar mereka juga dapat menyambut bulan Ramadan sebaiknya seperti keluarga yang lain.