Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Sebanyak 10 buah keluarga telah menerima sumbangan daripada Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam (PBMP) yang disampaikan secara pandu lalu di Dewan Seri Kerna, Ibu Pejabat PBMP, kelmarin.
Hadir bagi menyerahkan sumbangan berupa barangan makanan, keperluan rumah dan peralatan pembelajaran tersebut ialah Ketua Eksekutif Interim PBMP, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.
Donation Drive berkenaan merupakan acara tahunan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial PBMP dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.
Bagi memuliakan lagi inisiatif berkenaan, PBMP turut melancarkan program tanggungjawab sosial korporat dikenali sebagai PBMP Prihatin yang bertujuan untuk memberikan impak positif kepada masyarakat melalui perbuatan baik yang berterusan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
Turut hadir bagi menyaksikan acara tersebut ialah Ketua Kampung Serasa, Awang Abdul Hamid bin Haji Zainin serta ahli-ahli pengurusan dan kakitangan PBMP.


