Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Dalam usaha untuk menyumbangkan bakti serta menyokong Pusat Pendermaan Darah bagi mengekalkan dan meningkatkan bekalan stok darah negara, Syarikat Trillion bersama Sim Kim Huat Trading Company dan Restoran & Katering Borneo Kopitiam hari ini menyumbangkan sebanyak 10 buah kerusi penderma darah ke Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut berlangsung di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS)
Sumbangan kerusi penderma darah yang bernilai $20,000 itu telah diserahkan oleh Pengarah Urusan Sim Kim Huat Trading, Syarikat Trillion dan Borneo Kopitiam, Lee Chiap Kiang kepada Ketua Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Chong Kim Moi.
Pada majlis berkenaan, Syarikat Trillion bersama Sim Kim Huat Trading, Borneo Kopitiam serta Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS telah dianugerahkan sijil daripada The Brunei Book of Records atas pencapaian Darah Paling Banyak Didermakan dalam Kempen Sehari di Brunei sebanyak 302 pain, dalam kempen yang berlangsung di Borneo Kopitiam Sungai Hanching, pada 2 November 2024.
Mengulas mengenai pencapaian berkenaan, pihak syarikat amat berbesar hati dengan pengiktirafan pencapaian mereka di mana ia merupakan hasil usaha semua pihak dalam menyahut seruan Pusat Pendermaan Darah bagi mengatasi kekangan kekurangan darah.
Mereka juga menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang tampil untuk menderma darah di mana pencapaian itu memaparkan hubungan erat dan semangat kekitaan di antara masyarakat, sektor swasta dan umum.
Pihak syarikat juga berharap pencapaian berkenaan dapat memupuk kesedaran dan inspirasi kepada masyarakat dan organisasi lain untuk menganjurkan kempen darah mega setiap bulan bagi membantu mengekalkan tahap stok darah sentiasa berada di paras yang memuaskan.
