MANILA, 1 MEI – Sepuluh orang, termasuk empat kanak-kanak, maut manakala 37 lagi cedera selepas sebuah bas merempuh deretan kenderaan di plaza tol berhampiran bandar Tarlac di utara Filipina, hari ini.
Menurut pihak berkuasa, kemalangan tragik itu berlaku apabila pemandu bas dipercayai terlelap sebelum kenderaan berat itu menghentam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) lalu mencetuskan pelanggaran berantai melibatkan beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di plaza tol.
“Berdasarkan temu bual awal, pemandu bas mengaku tertidur dan hanya tersedar apabila melihat kejadian kemalangan di hadapan matanya,” kata Kolonel Romel Santos daripada polis Tarlac City kepada AFP.
Ketika kejadian, lebuh raya utama di Luzon sesak dengan kenderaan sempena sambutan cuti Hari Buruh, yang menyaksikan ramai penduduk tempatan pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.

Pemandu dan konduktor bas telah ditahan dan siasatan awal menunjukkan pemandu berdepan tuduhan ‘kecuaian melampau yang mengakibatkan kematian’.
Pasukan penyiasat masih menunggu di hospital tempatan bagi mengenal pasti mangsa, manakala tahap kecederaan 37 yang terselamat masih belum dapat dipastikan.
Kemalangan maut di jalan raya adalah perkara biasa di Filipina, ekoran pematuhan undang-undang trafik yang longgar dan penyelenggaraan kenderaan yang sering diabaikan, menurut pemerhati. – AFP