MEXICO, 9 SEPT – Kira-kira 10 orang maut dan 41 cedera apabila sebuah kereta api kargo melanggar sebuah bas dua tingkat di tengah Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan kelmarin.
Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan tren tersebut merempuh bas ketika cuba melintasi landasan di Atlacomulco, kira-kira 100 kilometer dari bandar Mexico.
Tiada palang lintasan kelihatan dalam video tersebut, yang menunjukkan kenderaan lain berhenti dan tidak melintasi landasan.
“Kami mencatatkan sejumlah 41 orang cedera dan 10 telah terbunuh,” kata pegawai perlindungan awam Atlacomulco, Mexico, Adrian Hernandez.
Tambah beliau, empat daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan parah.
Manakala, gambar yang dikongsikan turut menunjukkan beberapa penumpang yang cedera memanjat keluar dari bas, manakala gambar dari lokasi kejadian menunjukkan bas tersebut kehilangan keseluruhan bumbung dan bahagian belakangnya.
Pemandu bas telah ditahan dan kini berada dalam tahanan pejabat pendakwa tempatan, tambah Hernandez. – AFP


