BEIJING, 5 MEI – Kira-kira 10 orang maut dan 70 lagi dimasukkan ke hospital selepas angin kencang menyebabkan bot yang membawa pelancong karam di barat daya China, kata media kerajaan hari ini.
Bot penumpang itu karam kelmarin di sebatang sungai di bandar Qianxi, wilayah Guizhou, kata penyiar negeri CCTV, mengakibatkan 84 terjatuh ke dalam air.
Setakat hari ini 10 maut, 70 dimasukkan ke hospital dan empat lagi tidak mengalami sebarang kecederaan, kata media kerajaan.
“Orang terakhir yang dilaporkan hilang pada awal pagi ditemui oleh anggota penyelamat sekitar tengah hari, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda dia masih hidup,” tambah CCTV.
Presiden China Xi Jinping menggesa usaha menyeluruh dalam operasi mencari dan menyelamat serta rawatan mereka yang cedera, kata agensi berita Xinhua.
Xi juga menekankan kepentingan mengukuhkan langkah keselamatan di tempat tarikan pelancong dan tempat awam lain, kata agensi itu.
Naib Perdana Menteri, Zhang Guoqing, telah dihantar ke tempat kejadian untuk mengawasi usaha menyelamat, tambah media kerajaan.
Siasatan mendapati bot tidak sarat dengan penumpang, kata CCTV.
Kejadian kelmarin berlaku hanya lebih dua bulan selepas 11 orang terbunuh dalam perlanggaran bot di tengah China.
Kemalangan di wilayah Hunan berlaku apabila sebuah bot penumpang melanggar sebuah kapal industri menyebabkan 19 orang terhumban ke laut. – AFP
