Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 maut akibat tembakan di sekolah Austria

    VIENNA, 10 JUN – Seramai 10 orang maut hari ini setelah seorang penembak yang disyaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah di bandar Graz, tenggara Austria, menurut laporan datuk bandarnya.

    Beberapa pelajar dan sekurang-kurangnya seorang dewasa, serta penembak yang disyaki, adalah antara yang maut, kata Datuk Bandar Elke Kahr kepada agensi akhbar Austria, APA.

    Kejadian tembakan di sekolah jarang berlaku di Eropah berbanding di Amerika Syarikat, namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Eropah telah dikejutkan oleh serangan di sekolah dan universiti, yang tidak berkaitan dengan keganasan.

    “Pada masa ini, operasi polis sedang dijalankan… Punca penempatan adalah kerana bunyi tembakan kedengaran di dalam bangunan,” kata pihak polis di X, mengesahkan serangan di bandar Graz.

    Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri belum dapat dihubungi oleh AFP untuk mendapatkan pengesahan lanjut.

    Situasi sangat tidak jelas buat masa ini,” kata sumber polis kepada APA.

    Diplomat tertinggi Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, menyatakan dirinya “amat terkejut” hari ini berhubung laporan tembakan tersebut.

    “Setiap kanak-kanak seharusnya berasa selamat di sekolah dan dapat belajar tanpa rasa takut dan keganasan,” kata Kallas dalam X. “Simpati saya bersama mangsa, keluarga mereka dan rakyat Austria pada saat yang suram ini.” – AFP

    Kelihatan anggota polis di jalan berhampiran sebuah sekolah di mana, menurut laporan, beberapa orang telah meninggal dunia dalam satu tembakan, kelmarin, di Graz, Austria. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda