Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 maut dalam letupan di Somalia

    MOGADISHU, 31 MEI – Sekurang-kurangnya 10 orang telah terkorban dan 12 lagi cedera apabila sebuah alat peledak meletup dan menghancurkan sebuah bas mini di luar kota Somalia, Mogadishu hari ini, menurut kerajaan.

    Letupan tersebut terjadi berhampiran perkampungan Lafole di sepanjang Afgoye-Mogadishu di mana bas penumpang dalam perjalanan pada awal hari.

    “Sekurang-kurangnya 10 orang awam terbunuh dalam letupan di kawasan Lafole pagi ini, mereka yang terbunuh adalah orang awam,” menurut kementerian maklumat dalam satu kenyataan, dan menambah semua mangsa sedang dalam perjalanan menuju tanah perkuburan.

    Para saksi berkata bas mini tersebut hancur sama sekali, dan menggambarkan pemandangan mengerikan dengan semua orang di dalamnya mati atau cedera dan banyak mayat hancur atau terbakar tidak dapat dikenali.

    “Ini adalah kejadian yang mengerikan pagi ini, alat peledak meletup ketika bas melintas di kawasan itu dan memusnahkannya semua sekali,” kata Daud Doyow, seorang saksi.

    “Mayat orang awam bertaburan dan kebanyakan mereka telah meninggal dunia,” tambahnya.

    “Terdapat lebih 20 orang penumpang dan 10 daripadanya telah disahkan meninggal dunia sementara selebihnya mengalami kecederaan serius dan dibawa ke hospital, ia merupakan senario yang mengerikan di sini,” menurut seorang saksi lain, Abdirisak Adan.

    Tiada kumpulan segera mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu, tetapi kumpulan Shabaab yang bersekutu dengan Al-Qaeda di Somalia melakukan serangan berkala di dan sekitar ibu kota, sering membunuh orang awam. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda