TAIPEI, 18 OGOS – Banjir kilat yang telah melanda sebuah tapak perkhemahan di utara China telah mengorbankan 10 orang dan menyebabkan dua lagi hilang, lapor media rasmi kelmarin.
Banjir yang berlaku pada Sabtu sekitar jam 10 malam itu telah melanda Urad Rear Banner, kawasan pergunungan luas di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam yang terkenal dengan tapak perkhemahannya.
Pada awalnya, seramai 13 orang dilaporkan hilang. Namun, menurut agensi berita rasmi Xinhua, seorang berjaya diselamatkan dan lapan mayat ditemui pada pagi kelmarin, manakala dua lagi ditemui mati kemudian pada hari sama.
Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.
Utara China sebelum ini turut mengalami beberapa kejadian banjir kilat dan tanah runtuh sejak beberapa minggu lalu. Hujan lebat di wilayah barat laut Gansu awal bulan ini meragut kira-kira 10 nyawa dan menyebabkan 33 orang hilang.
Hujan lebat juga membadai kawasan lain di seluruh negara, termasuk Hong Kong yang mencatatkan curahan hujan bersejarah. – AP


