JUBA, 3 MAC – Sebuah pesawat komersial terhempas pada Selasa malam di Sudan Selatan, mengakibatkan semua 10 penumpang maut, menurut Gabenor negeri Jonglei.
Mangsa termasuk lapan penumpang dan dua juruterbang. Nahas berlaku ketika pesawat penerbangan South Supreme Airlines HK-4274 dalam perjalanan ke ibu negara Juba dari bandar Pieri di negeri Jonglei, kata Denay Jock Chagor.
“Doa kami bersama keluarga mangsa. Saya bagi pihak rakyat Jonglei dan negara, mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa.
“Berita kemalangan pesawat South Supreme Airlines yang berlaku pada 2 Mac 2021 sekitar 5 petang di Pieri Airstrip ini sangat mengejutkan,” katanya dalam perutusan takziah dikeluarkan pejabatnya.
Menurut Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Juba, Kur Kuol, kepada Agensi Anadolu, maklumat yang diterima melaporkan pesawat komersial itu terhempas di bandar Pieri, Jonglei ketika dalam penerba-ngan ke Juba. – Bernama