LYON, 16 DIS – Lima kanak-kanak adalah antara 10 orang yang terbunuh semalaman apabila kebakaran berlaku di sebuah bangunan pangsapuri tujuh tingkat di pinggir bandar Lyon, timur Perancis, kata kerajaan tempatan hari ini.
Punca kebakaran masih tidak jelas, kata pihak berkuasa, sambil menambah bahawa api meletus sedikit selepas 3 pagi di Vaulx-en-Velin.
Sementara itu, 14 yang lain cedera, seorang daripadanya dalam keadaan serius.
Dua anggota bomba mengalami kecederaan ringan ketika memadamkan kebakaran, yang berlaku di tingkat bawah bangunan dan merebak sehingga ke tingkat tiga, menurut jurucakap bomba.
Hampir 170 anggota bomba telah dikerahkan di bangunan yang terletak di pinggir bandar utara. – AFP


