Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 pelajar dibuang dari universiti akibat penyalahgunaan AI 

    VILNIUS, 24 MAC – Seramai 10 pelajar Universiti Vilnius dibuang daripada universiti kerana melanggar peraturan penggunaan kecerdasan buatan (AI), lapor Lithuanian National Video and Television (LRT) pada Sabtu lalu.

    Menurut laporan itu, walaupun penggunaan AI tidak dilarang, terdapat pelajar yang menggunakannya secara tidak bertanggungjawab. 

    Naib Rektor Pengajian Universiti Vilnius, Valdas Jaskunas berkata bahawa dalam tempoh setahun lalu, kira-kira sepuluh pelajar dibuang kerana menggunakan AI secara tidak wajar dalam tugasan akademik mereka, termasuk dalam penulisan tesis akhir. 

    Penggunaan AI dianggap tidak wajar sekiranya pelajar gagal mendedahkan bahawa teknologi itu digunakan dalam kerja mereka, kata Jaskunas. 

    Cabaran serupa turut dihadapi oleh universiti lain. 

    “Para pensyarah berkata bahawa terdapat pelajar yang menggunakan AI dan terdapat kes seorang pelajar diberikan gred ‘N’ – yang menunjukkan ketidakjujuran akademik – dalam penilaian akhir mereka,” kata Pengarah Direktorat Pengajian di Vilnius Tech, Nora Skaburskiene. 

    Menurut Vilnius Tech, AI paling kerap digunakan oleh pelajar dalam tugasan dan sumber rujukan. – Bernama

    Gamabr Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda