Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Seramai 10 pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama (SU) Kasat yang menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di sekolah berkenaan, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Kampung Kasat, Haji E’rifin bin Haji Mohd Yusof, yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam dan disusuli dengan bacaan Takhtim.
Doa Khatam kemudiannya dibacakan oleh Awang Muhammad Isyraf bin Azza Azwan Ezwandy.
Seterusnya, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta khatam, diiringi persembahan dikir oleh para pelajar.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Kasat, Pengiran Mohd Amiruddin bin Pengiran Haji Tejudin.
Majlis-majlis khatam Al-Quran anjuran sekolah-sekolah agama di negara ini merupakan usaha murni Jabatan Pengajian Islam dalam memperkukuh syiar Islam serta menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan hidup beragama dalam kalangan generasi muda.










