Oleh Daniel Lim
BELAIT, 25 MAC- Sepuluh pelajar Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB) telah menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran Murattal yang diadakan di Dewan Kuliah sekolah berkenaan baru-baru ini.
Pertandingan berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Unit CCA sekolah, Unit Agama dan Kerohanian serta Jabatan Pengajian Agama
Pertandingan diadakan dengan tujuan untuk mengisi Ramadan dengan aktiviti keagamaan yang membina dan berfaedah di samping mengenal pasti pelajar yang boleh mewakili sekolah, kluster, daerah mahupun negara dalam pertandingan tilawah al-Quran akan datang.
Pelajar-pelajar yang bertanding mewakili lima kumpulan yang terdiri daripada seorang pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan.
Dalam pertandingan berkenaan, peserta dikehendaki membaca Al-Quran secara murattal di mana peserta lelaki membaca Surah Al-An’am ayat 45 hingga 52 dan peserta perempuan membaca Surah Al-Baqarah ayat 182 hingga 186 dan dinilai berdasarkan tajwid, fasahah, lontaran suara dan melodi.
Panel hakim pertandingan terdiri daripada imam dan pegawai masjid dari Masjid Kampung Pandan dan Masjid Mohammad Jamalul Alam.
Timbalan Pengetua Pentadbiran sekolah berkenaan, Mohd Shamry bin Haji Mohd Sani, menyampaikan anugerah berupa sijil, wang tunai dan markah kumpulan. Beliau diiringi guru kanan kokurikulum, Mohamad Dzulhilmi Haji Brahim.
Johan pertandingan bagi kategori lelaki disandang oleh Awang Ahmad Rifa’ie bin Mohamad Fauziee dari kumpulan ‘Kemerdekaan’ dengan markah 77.5%, manakala bagi kategori perempuan, Dayang Hanisah binti Haji Jasni dari kumpulan ‘Kreatif’ mendapat tempat pertama dengan markah sebanyak 80.75%.
Pada akhir pertandingan, penghargaan turut disampaikan kepada para hakim, yang turut membaca ayat-ayat Al-Quran dalam gaya murattal dan qiraat untuk memberi inspirasi dan tunjuk ajar kepada para peserta dan pelajar yang hadir.
PIC05.JPG: Pemenang tempat pertama bagi kategori lelaki menerima hadiah daripada Timbalan Pengetua Pentadbiran dan guru kanan kokurikulum (Gambar Kiri ke Kanan masing-masing)
PIC06.JPG: Pemenang tempat pertama bagi kategori perempuan menerima hadiah daripada Timbalan Pengetua Pentadbiran dan guru kanan kokurikulum (Gambar Kiri ke Kanan masing-masing)