BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Hasil rondaan Pegawai Penguat Kuasa, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) baru-baru ini, seramai 10 orang pemandu dari 10 buah syarikat pengangkutan telah dikenakan kompaun antara $50 hingga $200 di atas berbagai-bagai kesalahan lalu lintas.
Selain itu, tiga orang dari pemandu tersebut juga telah dikenakan mata demerit SiKAP sebanyak enam mata di atas kesalahan memandu kenderaan dengan tayar botak, hasil operasi rondaan yang diadakan pada 18, 23 dan 24 Julai 2018 di Lebuh Raya Tutong dan Telisai-Lumut.
JPD dalam kenyataannya hari ini menyatakan, para pemandu berkenaan telah melakukan kesalahan seperti membawa lebih berat muatan, kenderaan tidak dalam keadaan baik, tayar tidak dalam keadaan baik dan botak, mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran, membawa penumpang dengan kenderaan yang tidak dibenarkan, tidak membawa sijil kelayakan kenderaan, tidak memasang mudguard dan tidak memasang pemantul cahaya.
Antara pesalah-pesalah tersebut ialah Enceng Sartono dari Syarikat Haji Zaini b Hj Md Zain, Subiatoro (Teck Sin Transport Co), Tony Vevriyadi (LCY Development), Sujiato (Syarikat Abdullah Sdn Bhd), Jasmet Singh (Foundation Contractor and Engineering), Arsa Pandi Baluvchamy (AWINCO Sdn Bhd), Nagu Marimutu (Rantel Trading Company), Mulyono (Sivil Sdn Bhd), Rahim bin Lilah (Sumber Marin Semaun Sdn Bhd) dan Yana Cahyana (Syarikat Pemunggahan Hj Awg Buang).

Dalam pada itu, JPD ingin mengingatkan lagi kepada pemilik-pemilik syarikat serta pemandu-pemandu supaya akan sentiasa mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan orang ramai khususnya para pengguna jalan raya yang lain adalah terjaga.
JPD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti mengeluarkan kompaun, pemberian mata demerit dan penggantungan lesen bagi pemilik-pemilik syarikat serta pemandu-pemandu yang gagal mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya yang berjalan pada masa ini.
JPD juga mempelawa orang ramai dalam sama-sama memastikan keselamatan jalan raya dan boleh menghadapkan aduan yang berkaitan dengan kesalahan lalu lintas jalan raya dengan menghubungi talian kecemasan Bahagian Penguatkuasaan JPD atau WhatsApp di talian 7292017 atau melalui Talian Darussalam 123 atau WhatsApp Talian Darussalam 8333123.