Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 pengganas maut di Sinai

    KAHERAH, 12 Feb – Sekurang-kurangnya 10 pengganas terbunuh semalam dalam satu serbuan polis di Arish, Sinai Utara yang bersempadan dengan Israel dan Semenanjung Gaza di Palestin, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber keselamatan dan perubatan.

    Mayat kesemua anggota militan itu telah dibawa ke sebuah hospital berhampiran di wilayah Ismailia.

    Serbuan itu adalah sebahagian kempen antikeganasan besar-besaran Mesir dinamakan ‘Sinai 2018’ yang bermula pada Jumaat lalu.

    Terdahulu, tentera Mesir mengumumkan bahawa mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 16 anggota militan dan menahan empat suspek di bahagian utara semenanjung Sinai yang bergolak.

    Gambar yang diambil pada 10 Februari 2018 di selatan Gaza menunjukkan asap daripada bom di sebelah sempadan berhampiran Mesir. Sekurang-kurangnya 10 pengganas terbunuh dalam satu serbuan polis di Arish, Sinai Utara yang bersempadan dengan Israel dan Semenanjung Gaza di Palestin. – AFP

    Sinai Utara telah menjadi tumpuan serangan pengganas yang meragut nyawa beratus-ratus anggota polis dan tentera berikutan penyingkiran bekas presiden Islam, Mohamed Morsi, oleh pihak tentera pada Julai 2013.

    Serangan itu kemudian telah merebak ke wilayah lain termasuk ibu kota Kaherah dan mula menyasarkan minoriti Kristian Qibti menerusi beberapa siri tembakan dan pengeboman di gereja.

    Pada November 2017, pengganas telah menyerang sebuah masjid di Arish dan membunuh 310 penganut Islam serta mencederakan lebih 120 yang lain.

    Ia merupakan serangan paling dahsyat dan yang pertama ke atas sebuah masjid dalam sejarah moden Mesir. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda