MADRID, 31 JAN – Majlis Tertinggi Sukan (CSD) Sepanyol hari ini berkata lebih 10 penyokong Real Valladolid yang menghina bintang Real Madrid, Vinicius Junior yang berbaur perkauman dalam perlawanan La Liga bulan lepas akan didakwa.
Beberapa penyokong tuan rumah telah memaki hamun pemain Brazil itu semasa Real Madrid menang 2-0 di Valladolid pada 30 Disember lalu, menyebabkan La Liga memfailkan aduan kepada mahkamah tempatan.
CSD berkata dalam satu kenyataan, Suruhanjaya menentang Keganasan, Perkauman dan Xenophobia dalam sukan telah memulakan prosiding untuk cadangan hukuman terhadap lebih 10 penyokong berhubung insiden itu.
Polis sedang mengumpul data sebelum mengesyorkan hukuman termasuk denda 4,000 euro (sekitar AS$4,300) dan larangan satu tahun memasuki mana-mana stadium, tambah kenyataan itu.
La Liga membuat aduan mengenai peminat kepada polis dan berkata mereka telah menyediakan rakaman video dan audio yang mereka kumpulkan.

Suruhanjaya itu juga mengadakan mesyuarat kelmarin untuk membincangkan satu lagi insiden yang melibatkan warga Brazil berusia 22 tahun itu.
Boneka berpakaian baju Vinicius diikat berhampiran tempat latihan Real Madrid sebelum perlawanan suku akhir Copa del Rey minggu lalu menentang pesaing tempatan Atletico dengan mesej berbunyi ‘Madrid benci Real’.
CSD berkata polis telah memulakan siasatan untuk mengenal pasti mereka di sebalik ‘perbuatan keji’ itu menggunakan kamera trafik dan imej yang diterbitkan di media sosial.
Awal musim ini, pendakwa raya Sepanyol membuka penyiasatan terhadap penghinaan berbaur perkauman terhadap Vinicius oleh peminat Atletico Madrid berdasarkan rakaman nyanyian memanggilnya monyet sebelum derbi Madrid September lalu. – AFP