Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Seramai 10 orang perantis kohort kelima Graduate Apprenticeship Programme (GAP) telah diraikan pada majlis yang berlangsung di Atrium Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini.
Perantis berkenaan dipilih daripada lebih 400 orang pemohon selepas proses pemilihan yang ketat, termasuk temu duga dan penilaian psikometrik. Mereka bersedia memulakan perantisan enam bulan mereka pada 2 Jun ini. Perantis tersebut datang daripada pelbagai latar belakang akademik, termasuk Sains Data, Pemasaran, Ekonomi dan Perniagaan serta Kewangan, dengan kelayakan dari universiti tempatan dan antarabangsa.
Hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan Ketua Kumpulan Sumber-sumber Manusia dan Pentadbiran di Bank Baiduri, Veronica Chong serta ahli jawatankuasa pengurusan bank yang lain, ketua jabatan dan ahli keluarga perantis tersebut.
GAP mewakili inisiatif pembelajaran dan pembangunan komprehensif Bank Baiduri yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan pengalaman industri dunia sebenar. Program itu melengkapkan graduan baharu dengan pengetahuan, kemahiran praktikal dan pendedahan yang diperlukan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja Brunei yang semakin berkembang. Ia terdiri daripada pembelajaran bilik darjah berstruktur, latihan sambil bekerja dan tugasan projek dalam bank berkenaan.
Tahun ini, kitaran lima memperkenalkan peningkatan utama kepada program dengan penggiliran mandatori di semua cawangan di bawah Bahagian Perbankan Runcit. Struktur baharu ini menyediakan perantis dengan pendekatan yang bertumpu pada perniagaan teras bank, operasi rangkaian cawangan dan pendedahan kepada perkhidmatan pelanggan.
Ia bertujuan untuk memperdalam pemahaman mereka tentang perkara yang menjana perniagaan bank, interaksi pelanggan barisan hadapan dan proses operasi serta mempersiapkan mereka dengan peranan yang lebih holistik dalam sektor kewangan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ti Eng Hui berkata GAP adalah sebahagian daripada komitmen bank untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya tahan untuk masa depan Brunei.
“Dengan melengkapkan graduan muda dengan pengalaman dunia sebenar dan kemahiran insaniah yang penting, kami berhasrat untuk memperkasakan generasi akan datang untuk menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan negara kita,” ujarnya.
Selepas menamatkan program, perantis berpeluang memohon jawatan kosong yang sesuai dalam Kumpulan Bank Baiduri atau mengejar peluang kerjaya dalam industri yang lebih luas, berbekalkan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang berharga.
