Friday, May 9, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 peratus individu terkaya dunia punca pemanasan global

    PARIS, 8 MEI – Kira-kira dua pertiga pemanasan global sejak tahun 1990 berpunca daripada 10 peratus individu terkaya di dunia, menurut satu kajian yang didedahkan kelmarin.

    Gaya hidup dan pelaburan golongan kaya secara signifikan meningkatkan risiko gelombang haba maut dan kemarau, menurut kajian pertama yang mengukur secara tepat kesan kekayaan persendirian terhadap kejadian iklim ekstrem.

    “Kami mengaitkan jejak karbon individu terkaya terus kepada kesan iklim sebenar di dunia,” kata penulis utama, Sarah Schoengart, seorang saintis di ETH Zurich kepada AFP.

    Tambahnya, “Ia adalah perubahan daripada pengiraan karbon kepada pertanggungjawaban iklim.”

    Menurut dapatan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change, berbanding purata global, satu peratus individu terkaya menyumbang 26 kali ganda lebih banyak kepada gelombang haba yang dahulunya berlaku sekali dalam seabad dan 17 kali ganda lebih banyak kepada kemarau di Amazon.

    Pelepasan karbon sebanyak 10 peratus daripada golongan terkaya di China dan Amerika Syarikat yang bersama-sama menyumbang hampir separuh daripada pencemaran karbon dunia dan masing-masing menyebabkan peningkatan dua hingga tiga kali ganda dalam kejadian haba ekstrem.

    Pembakaran bahan api fosil dan penebangan hutan telah memanaskan permukaan bumi secara purata sebanyak 1.3 darjah Celsius, kebanyakannya berlaku dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

    Schoengart dan pasukannya menggabungkan data ekonomi dan simulasi iklim untuk menjejaki pelepasan karbon berdasarkan kumpulan pendapatan global yang berbeza, serta menilai kesannya terhadap jenis cuaca ekstrem tertentu.

    Mereka turut menekankan peranan pelaburan kewangan yang menyumbang kepada pelepasan karbon, bukan sekadar gaya hidup dan penggunaan individu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda