GENEVA, 6 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 peratus penduduk dunia sudah dijangkiti COVID-19, jauh lebih tinggi berbanding statistik rasmi.
Badan dunia di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga mahu menyegerakan rombakan dalaman institusi supaya lebih bersedia menangani cabaran akibat virus itu.
Sehingga kini, lebih daripada 35.5 juta kes COVID-19 direkodkan di seluruh dunia, termasuk sekitar 1.04 juta kematian.
Namun, WHO kini menganggarkan sekitar 10 peratus daripada 7.8 bilion penduduk dunia sudah dijangkiti iaitu lebih 20 kali ganda jumlah rasmi sejak virus itu pertama kali muncul di China akhir tahun lalu. Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan, berkata anggaran terbaik menunjukkan ketika ini kira-kira 10 peratus penduduk dunia mungkin dijangkiti virus itu.
“Tahap jangkitan berbeza antara bandar dan luar bandar, berbeza antara kumpulan yang berlainan.
“Tetapi pada hakikatnya, ini bermaksud sebahagian besar dunia tetap berisiko,” katanya pada mesyuarat khas lembaga eksekutif agensi itu semalam. – AFP