Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Johan Menunggu Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Tahun 2024, Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid dan Dayang Najla’ Sabreena binti Haji Abdul Rajid bakal mengetuai senarai 10 peserta yang akan bersaing di peringkat akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1446/2025 pada 19 Jun nanti.
Majlis penyampaian sijil bagi peringkat separuh akhir musabaqah berkenaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim selaku pengerusi majlis, sebelum diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Pengumuman keputusan disampaikan oleh pengerusi jawatankuasa jemaah hakim peringkat separuh akhir, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, sementara bacaan Doa Penutup disempurnakan oleh Awang Adib Zainul Zaky bin Haji Abdul Manaf.
Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Separuh Akhir menyaksikan penyertaan 29 peserta terdiri daripada 14 qari dan 15 qariah yang terpilih melalui peringkat saringan yang berlangsung dari 14 hingga 16 Mei lalu.
Seramai 93 peserta mengambil bahagian pada peringkat tersebut.
Lima qari dan lima qariah telah disenarai pendek untuk peringkat akhir yang akan berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan KKBS.
Para peserta qari adalah Awang Abdul Qawiyyel Azeez (johan menunggu), Awang Muhammad Nur Asymawi bin Awang Asli, Awangku Muhd Ammarrul Amsyar bin Pengiran Haji Marjuki, Awang Mohammad Hamiz Mirza bin Haji Sudirman dan Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin.
Manakala peserta qariah pula terdiri daripada Dayang Najla’ Sabreena (johan menunggu), Dayangku Akma Nabilah binti Pengiran Haji Jofri, Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman, Dayangku Nurul Sakinah Adawiyah binti Pengiran Ainolazahar dan Dayang Nur Rodaah binti Haji Asmat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, pegawai dan kakitangan dari KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya dan ibu bapa peserta.
Orang ramai dijemput untuk menyaksikan peringkat akhir musabaqah secara langsung menerusi laman rasmi Facebook dan YouTube Jabatan Belia dan Sukan Brunei.