Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi berakhir hari ini dengan menyaksikan seramai 10 orang peserta terdiri daripada lima orang qari dan lima orang qariah berjaya mara ke peringkat akhir setelah menamatkan pertandingan yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 10 hingga 12 November.
Musabaqah berkenaan telah menarik penyertaan seramai 68 orang peserta yang terdiri daripada 54 orang qari dan 14 orang qariah yang memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang pertandingan itu.
Majlis pengumuman keputusan diadakan petang tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Sellahuddin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; pengerusi-pengerusi bersama, ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan KHEU.






Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Kasat, Awang Afiq Haririe bin Haji Mohd Daud, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pentadbiran, Jabatan Pentadbiran, KHEU, Haji Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali selaku pengerusi bersama musabaqah.
Pengumuman keputusan disampaikan oleh Timbalan Pengetua Diploma ‘Aliyah Qira’at, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohd Ali Sabri bin Haji Yusof selaku pengerusi jemaah hakim musabaqah.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid bertajuk Negara Zikir Amalkan Al-Quran oleh Kumpulan Firqah Al-Khalil serta bacaan Al-Quran oleh wakil peserta yang terpilih ke peringkat akhir.
Penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para peserta serta ahli jemaah hakim disempurnakan oleh tetamu kehormat sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Afiq Haririe.
Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan projek tahunan KHEU yang dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan peringkat saringan kebangsaan, diikuti dengan peringkat separuh akhir dan seterusnya peringkat akhir kebangsaan.
Penganjurannya bertujuan memberi pendedahan dan dorongan kepada para qari dan qariah dalam mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran, menggalakkan masyarakat Islam mendalami ilmu tajwid serta memupuk kecintaan terhadap Al-Quran sebagai panduan hidup.
Melalui penganjuran ini juga diharapkan agar musabaqah terus menjadi platform berprestij dalam melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti serta memperkukuh usaha negara dalam memartabatkan syiar Islam dan penghayatan Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.

