Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 sahabat berkongsi rezeki

    JOHOR BAHRU – Sambutan Deepavali tahun ini membawa makna yang lebih mendalam buat 10 sahabat yang berkongsi rezeki membuka sebuah kedai kopi bersama di bandar raya ini.

    R. Magendran, 45, berkata segalanya tercetus selepas mengetahui seorang daripada rakan wanita mereka mempunyai masalah dalam bidang perniagaan pertanian dan logistik yang telah diusahakan sejak 2007 pada tahun lepas.

    Katanya, usaha itu dilakukan bagi membantu rakannya kembali bangkit dan menceburi perniagaan baharu dan bagi membuktikan harga sebuah persahabatan adalah lebih bernilai daripada keuntungan.

    “Idea untuk mengusahakan kedai kopi ini telah lama kami rancang, lebih setahun. Akhirnya menjadi realiti dan dibuka menjelang Deepavali ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Dalam pada itu, D. Diana Sabrin, 45, berkata pada permulaan, sembilan rakannya itu bercadang mahu membuka kedai kopi terbabit untuknya sebagai usaha membantu dirinya memulakan perniagaan baharu.

    Pemilik bersama, R. Magendran (kanan) dan D. Diana Sabrin menunjukkan antara menu di Nellai Karupatti Coffee, yang diusahakan oleh 10 sahabat berkongsi rezeki menjalankan perniagaan bersama di Jalan Titiwangsa, Tampoi. – Bernama
    Antara menu yang menarik di Nellai Karupatti Coffee. – Bernama
    Gambar Bernama

    Bagaimanapun, katanya cadangan itu hanya diterima sekiranya kesemua mereka bersetuju untuk mengusahakannya bersama-sama.

    “Saya bersetuju sebab semangat setia kawan, masa kita susah, kita jatuh dalam perniagaan, merekalah yang datang membantu,” katanya.

    Justeru, dia berharap perniagaan yang diusahakan bersama itu berjaya, sekali gus mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang telah terjalin lebih 35 tahun semenjak menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.

    Sementara itu, Magendran berkata kedai kopi yang dinamakan Nellai Karupatti Coffee dan terletak di Jalan Titiwangsa, Taman Tampoi Indah itu menghidangkan minuman kopi dan teh dengan menggunakan pemanis istimewa daripada gula nira.

    Pelbagai juadah lain juga seperti kuih, manisan tradisional masyarakat India serta nasi lemak tidak ketinggalan dijual di kedai kopi itu.

    Nellai Karupatti Coffee ialah sebuah kedai kopi dari India dengan lebih 200 cawangan di lima negara termasuk Malaysia, Australia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.

    Menurutnya, kedai mereka merupakan cawangan pertama di Malaysia dan merancang untuk memperluas cawangan kedua di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur pada November ini selain turut merancang membuka lapan lagi cawangan tahun depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda