Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Setakat 26 Mei, kira-kira 10 peratus penduduk di negara ini atau seramai 45,802 orang telah menerima dos satu dan dua vaksin COVID-19.
Daripada jumlah tersebut, seramai 32,679 orang telah mendapat vaksin di Daerah Brunei dan Muara, 5,544 orang di Daerah Belait, 5,115 orang di Daerah Tutong serta 2,464 orang di Daerah Temburong sejak bermulanya Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 pada 3 April lalu.
Sementara itu, program tempahan vaksin Astrazeneca secara sukarela kepada orang ramai akan berakhir esok, 29 Mei dan Kementerian Kesihatan memberikan jaminan bahawa vaksin akan terus diberikan mengikut fasa seperti yang digariskan dalam Strategi Vaksinasi Negara Brunei Darussalam.
Menurut perangkaan daripada Kementerian Kesihatan, sehingga 27 Mei, seramai 17,426 orang telah diberikan vaksin di bawah Program Tempahan Vaksin COVID-19 Astrazeneca secara sukarela kepada orang ramai sejak ia bermula pada 6 Mei lalu.
Data Kementerian Kesihatan juga menunjukkan bahawa seramai 2,592 orang individu telah divaksinasi dengan vaksin COVID-19 Astrazeneca pada 27 Mei di mana seramai 1,323 orang telah menerima vaksin di Stadium Tertutup di Daerah Brunei dan Muara, seramai 536 orang menerima vaksin di Daerah Belait, seramai 519 orang menerima vaksin di Daerah Tutong dan 214 orang menerima vaksin di Daerah Temburong.
Kementerian Kesihatan menekankan vaksinasi merupakan kaedah yang selamat dan efektif untuk melindungi diri kita, keluarga dan komuniti daripada COVID-19. Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga meyakinkan orang ramai bahawa keselamatan vaksin diberikan keutamaan yang paling tinggi dan langkah-langkah telah diambil untuk meminimumkan risiko yang berkaitan dengan penggunaan vaksin termasuk kesan sampingannya.
Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 semasa waktu pejabat atau melalui aplikasi BruHealth.
