Saturday, April 26, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 syarikat tawar 59 surat COE

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Sebanyak 59 surat tawaran pekerjaan bersyarat (COE) daripada 10 buah syarikat disampaikan kepada wakil-wakil pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Mekanikal ISQ Kohort ke-7 yang berjaya pada majlis yang berlangsung di IBTE Kampus Mekanikal, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penyerahan surat-surat tawaran berkenaan daripada wakil syarikat kepada wakil pelajar ialah Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik) IBTE, Hajah Mariah binti Haji Abdul Manaf.

    Pada majlis berkenaan, surat-surat COE disampaikan oleh wakil-wakil daripada 10 buah syarikat iaitu Liftco Sdn Bhd, Aziz Latif Transport Sdn Bhd, MOC Sdn Bhd, Q-Techline Services, Megalift Sdn Bhd, Adinin Works & Engineering Sdn Bhd, Ishii Iron Works Co Ltd, Sahid Sdn Bhd, SHIKA Sdn Bhd dan QESS Energy Support Services Sdn Bhd kepada wakil-wakil pelajar yang berjaya menerima COE bersyarat berkenaan.

    Salah seorang pelajar yang berjaya, Awang Muhammad Amir Hamizan @ Muhammad Hazim Amjad bin Kekali dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, menyatakan perasaan syukur kerana berjaya menerima tawaran pekerjaan sementara dari dua buah syarikat yang menemu duganya.

    Beliau berkata bahawa tidak menduga akan menerima tawaran daripada dua buah syarikat dan setelah menamatkan latihan pada Disember nanti, beliau akan berbincang serta mendapatkan pandangan dan restu daripada ibu bapanya untuk membuat pilihan tawaran syarikat mana yang akan diambilnya.

    Awang Muhammad Amir Hamizan menerima surat COE daripada Pengurus Kontrak Ishii Iron Works Co Ltd, Ichiro Otani dengan disaksikan oleh Hajah Mariah di Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pekerjaan Bersyarat yang berlangsung di IBTE Kampus Mekanikal, kelmarin.
    Hajah Mariah bergambar ramai bersama wakil-wakil syarikat serta para pelajar selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pekerjaan Bersyarat yang berlangsung di IBTE Kampus Mekanikal.

    Terdahulu, kelmarin dan hari ini, IBTE Kampus Mekanikal telah mengadakan Market Day bagi pelajar-pelajar ISQ Kohort ke-7 di mana sebanyak 10 buah syarikat mengambil bahagian dalam acara itu serta menawarkan COE kepada para pelajar berkenaan.

    Pelajar ISQ Kohort ke-7 terdiri daripada seramai 107 orang daripada empat program iaitu ISQ dalam Heavy Vehicle Driver, Industrial Blaster Painter, Marker/Fitter dan Scaffolder menyertai Market Day berkenaan.

    Semasa acara itu, syarikat-syarikat yang mengambil bahagian memberikan penerangan mengenai peluang pekerjaan dan tangga kerjaya yang mereka boleh tawarkan.

    Para pelajar yang berminat turut menyerahkan borang permohonan dan CV kepada syarikat-syarikat pilihan mereka.

    Syarikat-syarikat berkenaan kemudian menjalankan sesi temu duga dengan pelajar-pelajar berkenaan sebelum mereka dipilih untuk jawatan yang ditawarkan di mana calon yang berjaya akan menerima COE daripada syarikat berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda