Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 terima sijil Kursus Asas Pemandu Pelancong

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Seramai 10 orang pemandu pelancong telah lulus pemeriksaan secara teori dan praktikal bagi Kursus Asas Pemandu Pelancong dan telah diraikan serta menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil bagi Kursus Asas Pemandu Pelancong yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), kelmarin.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pemandu pelancongan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar.

    Kursus Asas Pemandu Pelancong ke-14 berkenaan telah dikendalikan selama 10 hari bermula 26 Februari hingga 7 Mac lalu.

    Kursus itu merupakan sebagai salah satu prasyarat Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi mana-mana individu yang ingin mendapatkan lesen pemandu pelancong di negara ini.

    Sejak kursus berkenaan mula diperkenalkan, seramai 205 orang pemandu pelancong yang berdaftar di Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengikuti Kursus Asas Pemandu Pelancong yang dikendalikan secara kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Pelancongan dan Kolej Perdagangan Laksamana iaitu sebuah institusi yang telah dilantik bagi mengendalikan Kursus Asas Pemandu Pelancong di Negara Brunei Darussalam.

    Kursus tersebut diadakan bertujuan untuk meningkatkan dan memantapkan kemahiran seorang pemandu pelancong dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan memenuhi kehendak piawaian yang telah ditetapkan, menyelaras maklumat dan informasi yang disalurkan oleh setiap pemandu pelancong adalah tepat dan betul serta membuka peluang-peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk tempatan khususnya dalam kalangan belia di negara ini.

    Peserta kursus telah didedahkan terhadap teknik-teknik kemahiran asas praktikal dan teori tentang tatacara sebagai pemandu pelancong, pengenalan destinasi-destinasi utama pelancongan dan tempat-tempat menarik serta pengenalan berhubung industri pelancongan di negara ini.

    Hajah Dahliana semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda