JOHOR BAHRU, 8 JUN – Seorang peniaga baju mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas 10 pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berbaur penghinaan terhadap Agama Islam, Allah dan Nabi menerusi akaun Facebook, akhir April lepas.
Alimuddin Mohd Hayat, 39, mengaku tidak bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan empat pertuduhan di hadapan hakim V. M Mabel Sheela.
Mengikut semua pertuduhan, duda anak dua itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya berbaur penghinaan terhadap Agama Islam, Allah dan Nabi menerusi akaun Facebook ‘Ali Tikos’, dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pada jam 10 malam 26 April lepas, di sebuah rumah di Rumah Pangsa Awam Larkin, di Johor Bahru.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar dan Noor Idayu Salim, menawarkan jaminan RM15,000 untuk setiap satu bagi enam pertuduhan dengan seorang penjamin.
Alimuddin yang tidak diwakili peguam, memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana dia menanggung dua anak selain berpendapatan tidak tetap.
Hakim Ahmad Kamal Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM9,000 dengan seorang penjamin bagi enam pertuduhan.
Di mahkamah lain, Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya menawarkan ikat jamin RM10,000 untuk empat pertuduhan.
Hakim Mabel Sheela memutuskan untuk menerima pakai wang jaminan RM9,000 yang ditetapkan oleh Hakim Ahmad Kamal Ariffin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Julai ini. – Bernama