Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC –Bulan Ramadan adalah bulan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk serta pedoman hidup bagi umat manusia.
Bertadarus Al Quran merupakan langkah awal dalam rangka membuat seseorang mencintai Al-Quran dan memperbaiki lagi bacaan ahli-ahli Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD)
Sehubungan dengan itu, seramai 100 orang ahli dari 13 persatuan dalam MWNBD telah menghadiri Majlis Pembukaan Tadarus pagi tadi.
Majlis berlangsung di kediaman Naib Yang Di Pertua I, MWNBD di Kampung Manggis Dua, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Naib Yang Di Pertua I.
Di majlis itu, Datin Paduka Hajah Mariam dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, antara objektif MWNBD menganjurkan majlis berkenaan adalah untuk menyemarakkan lagi suasana muhibbah dan keberkatan bulan Ramadan.
“Di samping mendekatkan diri dengan Al-Quran serta meningkatkan hubungan silaturahim di kalangan semua ahli persatuan yang bergabung dengan MWNBD dengan saling kunjung mengunjungi,” jelasnya.
Kemudian tadarus dimulakan dengan membaca Surah Al-Baqarah juzuk 1 yang dibaca secara bergilir-gilir oleh Ahli Lembaga Tadbir MWNBD dan seterusnya diikuti oleh wakil-wakil persatuan.
Manakala bacaan doa selepas membaca Al-Quran dipimpin oleh Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar dan diikuti bacaan Tahlil dan Doa Tahlil yang diketuai oleh Ustazah Julianawati binti Haji Hamdan dari Persatuan Kebajikan Perempuan.
Sementara itu bacaan doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ustazah Hajah Fatimah binti Haji Ahmad dari Pertiwi.
13 buah persatuan yang menghadiri majlis berkenaan terdiri dari Persatuan Pertiwi, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), Badan Kebajikan Isteri Pegawai-Pegawai Kerajaan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI), Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait (PKP), Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Persatuan Kebajikan Gabongan Wanita Daerah Tutong (PERGANITA) dan juga para jemputan dari ahli-ahli Biro Wanita MPK Kampong Manggis dan Muslimah Masjid Suri Seri Begawan Pengiran Anak Damit Kampong Manggis Madang.
Turut menyertai majlis adalah Badan Kebajikan Wanita Perumahan Negara Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Siswazah Wanita (PSW), Persatuan Belia Kampong Lambak (PERBEKAL), Persatuan Wanita Kampong Junjungan (PEWAJA) Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ( BAKTI ).