Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Sebanyak 100 unit bebola terumbu dalam empat saiz berbeza telah berjaya dilabuhkan di perairan Pulau Pilong-Pilongan, sebagai inisiatif pemuliharaan dan pemulihan ekosistem marin bersempena Sambutan Hari Lautan Sedunia 2025.
Majlis pelancaran aktiviti tersebut telah diadakan di Jabatan Perikanan, Muara dan disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan pembukaan oleh Yang Berhormat Dato sebelum rombongan bertolak ke Pulau Pilong-Pilongan bagi menyaksikan aktiviti melabuh bebola terumbu. Taklimat mengenai aktiviti berkenaan turut disampaikan oleh Pegawai Perikanan, Awang Muhammad Azizi bin Mahali.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan tema sambutan Hari Lautan Sedunia tahun ini adalah Keajaiban: Menjaga Apa yang Menjaga Kita, sebagai peringatan bahawa lautan bukan sekadar sumber semula jadi, tetapi juga sistem kehidupan yang menyediakan makanan, perlindungan dan membentuk identiti kebangsaan.
“Kita berhimpun hari ini bukan sahaja untuk meraikan, tetapi juga untuk merenung lebih mendalam hubungan yang kita kongsi dengan lautan dan memperbaharui komitmen terhadap kelestarian serta perlindungannya,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan penting yang dimainkan lautan dalam menyokong sektor perikanan negara, yang secara langsung menyumbang kepada keselamatan makanan, pendapatan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau lagi, ekosistem pesisir seperti bakau, padang rumpai laut dan terumbu karang juga memainkan fungsi penting sebagai penyerap karbon semula jadi serta pelindung pesisir pantai daripada kesan perubahan iklim. Peranan ini turut ditekankan semasa Ekspedisi dan Persidangan Antarabangsa Hutan ke Terumbu pada bulan Jun lalu.
Bagaimanapun, Yang Berhormat Dato turut mengingatkan bahawa ekosistem marin negara kini berdepan pelbagai ancaman serius, termasuk pencemaran laut akibat pembuangan plastik dan sisa industri, alat tangkapan yang terbiar, kehadiran mikroplastik dalam sistem terumbu karang, penangkapan ikan berlebihan, amalan penangkapan merosakkan, pembangunan tidak terkawal di kawasan pesisir, serta kesan perubahan iklim global yang menyebabkan peningkatan suhu lautan, pemutihan karang dan pengasidan laut.
“Perubahan ini bukan sahaja mengganggu keseimbangan ekosistem, bahkan turut mengancam kehidupan masyarakat yang bergantung kepada laut untuk makanan, pendapatan dan warisan budaya mereka,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Brunei Darussalam telah melaksanakan pelbagai langkah strategik berasaskan pendekatan ekosistem, sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB (SDG 14 – Kehidupan di Bawah Air).
“Hari ini, kita meneruskan komitmen tersebut dengan melabuhkan 100 unit bebola terumbu di Pelong Rocks, satu lagi langkah penting dalam usaha pemulihan marin negara,” tambah beliau.
Di akhir ucapannya, Yang Berhormat Dato menyeru agar pelaburan dalam sains marin diteruskan, khususnya bagi memupuk generasi muda sebagai pelapis pengurus kelestarian laut masa depan. Beliau turut menggesa pihak industri dan masyarakat agar mengamalkan pendekatan mesra alam dalam pembangunan ekonomi.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah pesuruhjaya tinggi dan duta besar, timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah kementerian berkenaan.