100 hari PKP: Saksi kejayaan M’sia ratakan lengkung wabak COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 JUN – Genap 100 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kejayaan negara dalam meratakan lengkung penularan wabak, sekali gus mengurangkan penularan kes dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, untuk memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan (PKPP) dengan kehidupan kebiasaan baharu, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan mematuhi segala nasihat dan prosedur operasi standard (SOP), yangditetapkan.

“Jumlah kes aktif kini menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

“Kejayaan meratakan lengkung graf COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) bermula 18 Mac selama empat fasa, diikuti PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei hingga 9 Jun dan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini. – Bernama

Orang ramai yang mengunjungi Taman tema Legoland Malaysia perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas taman tema itu kembali beroperasi mulai, kelmarin. – Bernama