TOKYO, 4 JUN – Kira-kira 100 ekor kucing telah ditemui mati di sebuah rumah seorang wanita dalam keadaan kotor di kawasan barat daya Jepun, menurut seorang pegawai tempatan kelmarin.
Kumpulan kebajikan haiwan, Animal Assist Senju, memohon maaf di media sosial sambil memuat naik gambar rumah yang dipenuhi sampah sarap dan menyatakan rumah tersebut ‘dipenuhi najis dan air kencing’.
Rumah tersebut merupakan milik salah seorang kakitangan mereka dan menurut kumpulan itu, wanita tersebut telah bertindak secara bersendirian dengan mengambil terlalu banyak kucing tanpa merujuk kepada organisasi.
Menurut hantaran kumpulan itu di Instagram pada hujung minggu lalu, seekor kucing telah ditemui dalam keadaan ‘tidak dapat dikenali’ dengan ‘kulitnya sebahagiannya terkopek dan kakinya dipenuhi najis dan air kencing’.
Pusat perlindungan haiwan Bandar Kumamoto memaklumkan kepada AFP kelmarin, jumlah kucing mati dianggarkan ‘sekitar 100 ekor’. Namun laporan media menyatakan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Animal Assist Senju, yang berpusat di wilayah Kumamoto berkata, mereka telah menyelamatkan kucing dan anjing dari pusat perlindungan haiwan untuk dipindahkan ke rumah baharu.
“Semua ahli kumpulan kami mengambil serius apa yang telah berlaku,” menurut satu lagi hantaran di Instagram.
Tambahnya, “Kami hanya mampu membayangkan penderitaan yang dialami oleh kucing-kucing itu sebelum mati, “ dan wanita tersebut kini tidak lagi dibenarkan mengambil kucing.
Pegawai bandar dan sukarelawan hak haiwan telah memeriksa rumah tersebut sebanyak dua kali selepas menerima maklumat tentang kematian seekor kucing minggu lalu, sebelum melancarkan operasi penuh menyelamat dan pencarian.
Tidak dapat dipastikan sama ada tindakan undang-undang telah diambil terhadap wanita itu.
Menurut pegawai perlindungan haiwan bandar, Tsutomu Takimoto, setakat ini, 12 ekor kucing hidup telah berjaya diselamatkan daripada rumah tersebut. – AFP

