Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    100 maut akibat fentanyl tercemar di Argentina

    ARGENTINA, 15 OGOS – Jumlah kematian akibat fentanyl tercemar yang digunakan di hospital-hospital Argentina telah meningkat melebihi 100 orang, menurut kerajaan kelmarin dan menuduh sebuah makmal farmaseutikal terhadap tindakan lambat mereka dalam menangani krisis tersebut, ketika kemarahan rakyat memuncak berikutan.

    Sejak Mei, pihak berkuasa telah berusaha untuk mengenal pasti bilangan kematian yang dikaitkan dengan bekalan fentanyl yang dicemari bakteria di hospital-hospital di empat wilayah serta di bandar Buenos Aires.

    Pemilik kumpulan HLB Pharma, Ariel Furfaro Garcia, didakwa sebagai pengeluar “kelompok fentanyl tercemar yang menyebabkan kematian lebih 100 orang,” menurut jurucakap Presiden libertarian Argentina, Javier Milei, dalam satu kenyataan.

    Tambahnya, Agensi Kawal Selia Ubat-ubatan Argentina (ANMAT) telah menutup makmal berkenaan tiga bulan sebelum kematian pertama akibat fentanyl tercemar dilaporkan.

    Namun, Furfaro Garcia sebelum ini menafikan sebarang tanggungjawab dan menuduh bekas rakan sekerjanya menyebarkan dakwaan tersebut kepada media, menurut laporan akhbar tempatan.

    Dua minggu lalu, waris mangsa mengadakan tunjuk perasaan di hadapan sebuah hospital di La Plata, selatan Buenos Aires, tempat kematian pertama berlaku, menuntut ‘keadilan untuk mangsa fentanyl’.

    Siasatan kes kematian akibat fentanyl bermula daripada aduan yang difailkan ANMAT, selepas menerima laporan daripada sebuah hospital yang mengesan dadah tercemar dalam bekalannya, menurut seorang kakitangan agensi itu kepada AFP dengan syarat tidak didedahkan identiti.

    Pakar turut memberi amaran, jumlah kematian mungkin terus meningkat apabila rekod perubatan baharu disemak dan kes disahkan di hospital-hospital yang sebelum ini belum melaporkan kematian berkaitan fentanyl. – AFP

    Ahli keluarga mangsa mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut keadilan akibat pencemaran fentanyl sehingga mengakibatkan kematian di Argentina, pada 14 ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda