KINSHASA, 14 DIS – Banjir terburuk pernah direkodkan dalam tempoh beberapa tahun di ibu negara Congo, disusuli hujan sepanjang malam menyaksikan hampir 100 orang terkorban, lapor stesen televisyen negara itu.
Jalan raya utama di pusat Kinshasa, bandar yang menempatkan sekitar 15 juta penduduk tenggelam dalam tempoh beberapa jam termasuk laluan bekalan utama terputus.
Susulan kejadian itu, kerajaan mengumumkan tiga hari tempoh berkabung di seluruh negara.
Terdahulu, Ketua Polis Bandar, Jeneral Sylvano Kasongo, memberitahu AFP angka kematian yang direkodkan pihaknya sekurang-kurang 55 orang, terutama di kawasan lereng bukit di mana berlaku kejadian tanah runtuh.
Tinjauan wartawan AFP di lapangan menyaksikan sendiri sembilan mayat yang disyaki ahli keluarga termasuk kanak-kanak yang maut selepas jatuh dari kediaman mereka di daerah Binza Delvaux.

Terletak berhampiran Sungai Congo, Kinshasa menyaksikan kemasukan penduduk dalam skala besar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebanyakan kediaman adalah rumah pondok yang dibina di sekitar cerun yang mudah dibanjiri.
Runtuhan tanah besar di daerah berbukit dekat Mont Ngafula ‘menyekat’ Lebuhraya Nasional 1 yang menjadi laluan bekalan utama menghubungkan ibu negara dengan pelabuhan Matadi.
Sementara itu, Perdana Menteri, Jean-Michel Sama Lukonde berkata kira-kira 20 mangsa terkorban di tempat kejadian selepas kediaman mereka dihanyutkan. – AFP

