Thursday, September 19, 2024
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    100 murid STJ PGGMB dididik hargai kebersihan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Seramai 100 orang murid-murid Sekolah Tunas Jaya, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (STJ PGGMB) Lambak, telah menghadiri jerayawara mengenai kesalahan membuang sampah di tempat awam, baru-baru ini.

    Jerayawara yang diadakan di sekolah itu dianjurkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Akta Kesalahan Rampaian (Pindaan 2021) Pejabat Daerah Brunei Dan Muara, Kementerian Hal Ehwal  Dalam Negeri dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran di peringkat anak-anak sekolah mengenai kesalahan-kesalahan membuang sampah di tempat-tempat awam di negara ini.

    Taklimat disampaikan oleh dua orang pegawai daripada bahagian tersebut yang diketuai oleh Dayangku Noradinawati Binti Pengiran Sulaiman dan Awang Sizali bin Md Yassin.

    Turut hadir di majlis tersebut adalah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.

    Guru Besar STJ PGGMB, Haji Roslan bin Haji Md Hassan dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, “jerayawara ini merupakan satu tindakan tepat dengan memilih murid-murid di peringkat pendidikan rendah yang mudah dilentur. Mereka dapat menerima peringatan-peringatan dan nasihat terutama sekali mengenai isu-isu pembuangan sampah di merata tempat dan tindakan undang-undang terhadap pesalah-pesalah.”

    Jerayawara itu turut diisi dengan interaksi bersama murid-murid melalui sesi soal jawab mengenai isu pembuangan sampah, yang mana aktiviti telah berjaya menarik perhatian murid-murid berkenaan.

    Pihak STJ PGGMB merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Daerah Brunei Dan Muara kerana memilih sekolah tersebut untuk menyertai program berkenaan.

    Suasana sekitar jerayawara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN STJ PGGMB

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda