Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 4 JUN – Seramai 100 orang pelajar di seluruh negara telah menyertai Bengkel CircuiTech Wizard bermula kelmarin sebagai sebahagian daripada Inovator Muda NXplorers.
Bengkel selama empat hari itu diadakan di tiga buah sekolah berasingan iaitu Sekolah Menengah Awang Semaun di Daerah Brunei dan Muara, Pusat Tingkatan Enam Tutong, dan Pusat Tingkatan Enam Belait yang bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas litar dan pembuatan kod.
Bengkel tersebut turut merangkumi pengetahuan tentang teori dan definisi sekitar pembuatan litar, termasuk cabaran praktikal di mana pelajar telah diberi tugas untuk menggunakan pengetahuan yang diperolehi untuk menyambung pelbagai litar elektronik dengan menggunakan komponen yang disediakan semasa hari pertama bengkel.
Pengisian bengkel hari pertama itu berlanjutan sehingga 6 Jun di mana para peserta kemudiannya akan mempelajari cara membuat kod menggunakan Arduino Microcontroller.
Bengkel itu diadakan sebagai kesinambungan daripada Bengkel NXplorers yang diadakan bulan lepas, sekali gus sebagai persediaan untuk acara bengkel yang akan datang seperti i-Maker di Makmal Tenaga Seria (SEL) dan Bengkel MegaTrex serta Sumo Robo yang kedua-duanya dijadualkan akan diadakan di Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Inovator Muda NXplorers diperkenalkan sebagai program perintis oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) melalui SEL dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Sekolah-sekolah, Pusat Perkongsian Alam Sekitar Teknologi Sains (STEP), UTB, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Makmal Inovasi Brunei (BIL) sebagai persediaan menghadapi Cabaran Global FIRST antarabangsa di Athens, Greece, dan Cabaran RBTX Petrosains di Kuala Lumpur, Malaysia.



