Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 100 orang pelajar dari Kursus Sejarah dan Tamadun Islam di bawah Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FIDM), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jalan Babu Raja, baru-baru
ini.
Lawatan yang diketuai oleh pensyarah, Dr Nurefnazhani binti Haji Durani itu bertujuan untuk menambah pengetahuan para pelajar mengenai sejarah Islam dan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai penulisan-penulisan Islam dan sejarah para ilmuwan Islam.
Antara bahan pameran yang menarik dalam sembilan galeri pameran tersebut termasuk koleksi-koleksi mushaf pelbagai bentuk dan ukuran, rambut mulia Rasulullah SAW, cebisan burdah Rasulullah SAW serta replika kesan tapak kaki, pedang-pedang dan tongkat Rasulullah SAW, koleksi pelbagai manuskrip Islam, peralatan astronomi Islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.
Lawatan juga bertujuan untuk memberikan penerangan mengenai fungsi dan peranan BKISHHB, sekali gus mempromosikannya sebagai sebuah institusi yang menyimpan khazanah warisan Islam yang unik dan berharga koleksi milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.