Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    100% penduduk mempunyai akses air bersih

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pada masa ini, 100 peratus penduduk di Negara Brunei Darussalam mempunyai akses kepada air yang bersih termasuk penduduk di kawasan pedalaman di mana ia dibekalkan dengan air bersih dari sungai melalui rawatan menggunakan kaedah protopak slow sand filtration.

    Kaedah ini sesuai digunakan disebabkan akses jalan raya ke kawasan pedalaman adalah terhad. Penduduk pedalaman yang dimaksudkan adalah Kampung Belabau 2, Kampung Mapol, Kampung Takalit di Daerah Tutong dan Kampung Melilas di Daerah Belait.

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ucapan alu-aluannya di Sesi Muzakarah Kementerian Pembangunan Bersama Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas, hari ini.

    Dari segi rawatan air, jelasnya, Brunei mempunyai lapan loji rawatan air dan keseluruhan penghasilan air bersih dari loji-loji berkenaan adalah sebanyak 451 juta liter sehari.

    Selepas rawatan dan pembersihan di loji, air bersih dihantar melalui paip-paip utama dan tangki-tangki pembahagian, dan seterusnya melalui paip-paip pembahagian ke kampung-kampung dan ke rumah-rumah.

    Antara ahli MMN yang menghadiri sesi muzakarah tersebut, kelmarin.

    “Sebagai contoh, loji rawatan air Bukit Barun dan Layong yang terletak di Daerah Tutong membekalkan lebih 90 peratus daripada keperluan Daerah Brunei dan Muara. Rangkaian paip-paip bagi kawasan tersebut adalah sangat meluas yang memerlukan pemeliharaan yang rapi.”

    Yang Berhormat Dato berkata bahawa Jabatan Perkhidmatan Air sentiasa berusaha untuk memastikan rangkaian pembekalan air bersih di Negara Brunei Darussalam adalah di tahap yang optimum melalui program-program operasi dan pemeliharaan yang telah dirancang.

    Beliau menjelaskan bahawa ia termasuk program menaik taraf loji-loji rawatan air dan program penggantian paip-paip lama dengan paip baru mengikut keutamaan dan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN).

    “Memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah gangguan bekalan air, gangguan tekanan air rendah dan kualiti air yang tidak memuaskan masih berlaku di beberapa tempat dan kawasan terutama sekali di beberapa tempat di Daerah Brunei dan Muara.”

    “Ini disebabkan oleh jumlah kerosakan paip-paip air yang tinggi yang berpunca daripada tanah susur, aktiviti pembangunan serta aset yang kurang berkesan di loji rawatan air dan stesen pam air.”

    Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan air kuning juga sering dialami disebabkan kesulitan merawat kualiti air sungai yang berubah yang berpunca daripada perubahan cuaca seperti hujan berpanjangan, banjir serta efluen atau discharge daripada aktiviti pembangunan yang mengubah kualiti air sungai.

    Bagi menangani masalah itu, beliau menyatakan bahawa antara langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Air adalah termasuk kerja–kerja pembersihan tangki-tangki simpanan air, kerja-kerja flushing terutama di penghujung rangkaian, kerja-kerja pemeliharaan tangki penapisan, kolam penjernihan, dos kimia dan pam-pam di loji rawatan air berfungsi dengan baik.

    Jabatan Perkhidmatan Air juga telah melaksanakan beberapa kajian bagi meningkatkan tahap keberkesanan keseluruhan rangkaian bekalan air bersih, serta untuk mendapatkan penambah baikkan dalam menangani masalah dan cabaran yang dihadapi.

    Selain daripada itu, pada Oktober 2022, Yang Berhormat Dato berkata bahawa kerajaan telah memperkenalkan Unified Smart Metering System (USMS), yang dianugerahkan kepada DST Network Sdn Bhd, di mana ia menggabungkan Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Berakas Power Company sebagai pelanggan projek itu.

    Penyelesaian sistem itu adalah untuk mewujudkan platform digital dan menggunakan modul prabayar bagi perkhidmatan air dan elektrik untuk seluruh negara. Dengan penggunaan sistem meter pintar, orang ramai bukan saja boleh mengurus bil elektrik mereka tetapi juga boleh mengurus bil air melalui modul yang sama dengan menggunakan akaun pelanggan masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda