Thursday, July 17, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    100 terima daging korban anjuran Perbadanan TAIB

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seramai 100 penerima, terdiri daripada 53 keluarga kurang berkemampuan dari kawasan RPN Kampung Panchor Mengkubau, telah menerima daging korban sempena Majlis Pengagihan Daging-daging Korban anjuran Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) bersama anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) yang berlangsung di Masjid An Na’im, Kampung Mengkubau.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

    Daging korban telah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada penerima lelaki, manakala Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, menyerahkan kepada penerima wanita.

    Turut hadir memeriahkan majlis ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak syarikatnya, ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB dan IITHSB, Penghulu Mukim Mentiri serta pemangku-pemangku ketua kampung dari kawasan sekitarnya.

    Turut hadir ialah para tetamu jemputan, pegawai serta kakitangan Perbadanan TAIB dan anak syarikat, serta penduduk kampung berdekatan.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat dan solat Fardu Asar berjemaah, dipimpin oleh Ketua Imam Masjid An Na’im, Awang Mohd Saifullah bin Haji Rosli.

    Pada tahun ini, sebanyak lima ekor kerbau telah dikorbankan hasil sumbangan daripada barisan ahli lembaga pengarah, jawatankuasa penasihat syariah, pihak pengurusan, kakitangan dan ahli keluarga mereka. Selain itu, lapan ekor kerbau tambahan telah disumbangkan oleh Perbadanan TAIB serta anak-anak syarikatnya, menjadikan keseluruhan sebanyak 13 ekor kerbau dikorbankan dan diagihkan kepada penerima, tetamu serta warga kerja yang terlibat.

    Melalui inisiatif ini, Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya terus menzahirkan komitmen mereka dalam menyantuni masyarakat, memperkukuhkan nilai keagamaan dan menyemarakkan semangat pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha.

    Majlis pengagihan daging korban terus disemarakkan sempena Hari Raya Aidiladha ini bagi menzahirkan komitmen dalam menyantuni masyarakat, memperkukuh nilai keagamaan dan semangat pengorbanan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Datin Hajah Hasnah menyerahkan daging korban kepada penerima semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda