Oleh Siti Nur Wasimah S. & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Sebanyak 1,000 naskhah buku yang bertajuk Bimbingan Asas Fardhu ‘Ain (Siri Pengenalan Islam) dan Basic Guidance of Fardhu ‘Ain (Islamic Introductory Programme) telah diterbitkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Unit Tarbiyah Mualaf.
Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Buku Bimbingan Islam telah diadakan di Bilik Mau’izzah, Bangunan Darul Huda, PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menerima buku-buku tersebut ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Manakala wakil dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bagi menyerahkan buku tersebut ialah Ketua Bahagian Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

Buku yang percetakannya telah dbiayai oleh BIBD itu antara lain mengetengahkan mengenai pengetahuan dan pengajaran tentang asas-asas agama Islam iaitu asas aqikah seperti Rukun Iman dan Rukun Islam, cara bersuci (thaharah) seperti berwudhu, cara melaksanakan sembahyang dengan sempurna serta amalan-amalan seharian seperti wirid dan doa-doa.
Dengan penerbitan buku ini, ia adalah diharapkan akan dapat dijadikan panduan asas yang bermanfaat kepada golongan mualaf untuk mempelajari dan memahami seterusnya memudahkan mereka untuk mengamalkan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian.