PARIS, 17 APRIL – Kerajaan Perancis memberi amaran hari ini mengenai risiko kebakaran hutan yang semakin meningkat akibat perubahan iklim, ketika ratusan anggota bomba di selatan negara yang kekeringan bergelut dengan kebakaran hutan terbesar mereka yang memusnahkan setakat tahun ini.
Kebakaran itu meletus kelmarin dan memusnahkan lebih 1,000 hektar tanah di sepanjang pantai Mediterranean dan merebak hingga ke sempadan timur laut Sepanyol.
Semasa lawatan hari ini ke kawasan itu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin berkata: “Musim kebakaran hutan bermula lebih awal akibat pemanasan iklim.”
Kebakaran hutan telah lama melanda Perancis tetapi biasanya bermula pada penghujung tahun. Walau bagaimanapun, kebakaran hutan besar di Eropah kini bermula pada awal tahun ini, menjadi semakin kerap dan sukar untuk dihentikan serta menyebabkan lebih banyak kerosakan. Para saintis berkata ia mungkin akan menjadi lebih teruk apabila perubahan iklim semakin meningkat. Wilayah Mediterranean mengalami pemanasan yang lebih cepat daripada purata global.
“Kita berada pada bulan April. Kami telah melihat permulaan beberapa keba-karan penting, terutamanya di selatan Perancis,” kata Darmanin.
Kemarau yang melanda Perancis tahun lalu ditambah lagi dengan kekurangan hujan pada musim sejuk lalu, menyebabkan hutan yang sudah kering dan berisiko lebih terancam.
Pihak berkuasa Perancis menggesa pemilik rumah untuk menebang dan mengurangkan pokok dan semak belukar di sekitar hartanah mereka dan meminta agar orang ramai lebih berhati-hati untuk tidak membuang rokok atau menyalakan api secara tidak sengaja. – AP