1,000 Jemaah dibenarkan tunai ibadah haji

RIYADH, 23 JUN – Arab Saudi akan membenarkan kira-kira 1,000 jemaah yang menetap di negara itu untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata seorang menteri hari ini, selepas ia mengumumkan ibadah tersebut akan dikurangkan disebabkan koronavirus.

“Jumlah jemaah adalah sekitar 1,000, mungkin kurang, mungkin lebih sedikit,” beritahu menteri Haji Mohammad Benten kepada wartawan.

“Jumlah tidak mungkin dalam puluhan atau ratusan ribu pada tahun ini,” tambah beliau.

Ibadah haji, dijadual diadakan pada akhir Julai, akan terhad kepada mereka berusia di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik, kata Menteri Kesihatan Tawfiq al-Rabiah.

Jemaah akan diuji untuk koronavirus sebelum tiba di bandar suci Mekah dan diwajibkan menjalani kuarantin di rumah selepas ibadah tersebut, tambah Rabiah.

Gambar menunjukkan khemah yang menempatkan jemaah terletak di antara tapak suci Arafat dan Mina di bandar Mekah, Arab Saudi kelmarin. – AFP

Arab Saudi sebelumnya mengumumkan ia akan mengadakan ibadah haji ‘amat terhad’ pada tahun ini, tatkala ia bertindak mengawal wabak koronavirus terbesar di Teluk.

Ia berkata ibadah haji akan dibuka kepada penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang telah pun berada dalam negara itu.

Keputusan itu menandakan kali pertama dalam sejarah moden Arab Saudi di mana penganut Islam di luar negara telah dilarang daripada mengerjakan ibadah haji, yang menarik 2.5 juta jemaah pada tahun lalu.

Benten tidak berkata bagaimana jemaah akan dipilih.

Namun beliau berkata kerajaan akan bekerjasama dengan pelbagai misi diplomatik di negara untuk memilih jemaah asing yang menetap di Arab Saudi yang memenuhi kriteria kesihatan.

Keputusan tersebut diambil tatkala Arab Saudi bergelut dengan peningkatan dalam jangkitan, yang kini telah bertambah kepada lebih 161,000 kes, yang tertinggi di Teluk, dengan lebih 1,300 kematian. – AFP