KUCHING, 27 JAN – Bank Rakyat memperuntukkan sumbangan RM100,000 kepada 1,000 pelajar dari 45 buah sekolah di negeri ini melalui program Jangkauan Komuniti MADANI Bank Rakyat: Kembali Ke Sekolah yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada majlis yang diadakan di Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.
Ewon dalam ucapannya menyatakan sokongan terhadap program berkenaan dan menggalakkan lebih banyak inisiatif kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam memastikan tiada yang tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti.
“Sehubungan itu, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Lembaga Pengarah dan pengurusan Bank Rakyat atas pelaksanaan program ini yang mencerminkan komitmen tinggi Bank Rakyat dalam memberi sumbangan positif kepada masyarakat, termasuk di luar bandar,” katanya.
Bank Rakyat dalam kenyataan memaklumkan inisiatif ini memanfaatkan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di sekitar daerah Kuching, Lundu, Bau dan Padawan bertujuan memberikan keceriaan kepada mereka sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah. – Bernama