Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) akan menyasarkan untuk melatih kira-kira 1,000 orang terdiri daripada penduduk mukim dan kampung di seluruh negara dalam tempoh setahun menerusi Program Pertolongan Cemas dalam Komuniti.
Program itu merupakan satu projek kemasyarakatan yang dilaksanakan bersama PBSM dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) untuk membarigakan pengetahuan asas pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat umum dengan sasaran utama ialah komuniti mukim dan kampung.
Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Sekretari Jeneral, Dayang Wardatul Zahrah binti Abdul Razak selaku Pengarah Kesihatan dan Perubatan PBSM Negara Brunei Darussalam (gambar) dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Pertolongan Cemas Dalam Komuniti yang berlangsung di Kompleks Annajat, hari ini.
Hadir menyempurnakan pelancaran program ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Dayang Wardatul Zahrah menerangkan program latihan bersepadu itu, tambahnya akan dilaksanakan secara seiring dengan kerjasama jabatan-jabatan daerah dan institusi mukim dan kampung di seluruh negara di bawah pemantauan bersama KHEDN.
Ia diwujudkan untuk memberikan kemahiran menyelamat nyawa dan menangani apa jua kecemasan di dalam rumah dan persekitaran kampung di samping berupaya berdepan dengan kecemasan setiap masa sama ada semasa bencana berlaku atau kemalangan terjadi.
Sasaran utama program berkenaan adalah di persekitaran mukim dan kampung yang jauh dari pusat kesihatan.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin telah menyempurnakan penyampaian Logo Pertolongan Cemas Dalam Komuniti kepada pegawai daerah dan pemangku pegawai daerah.
Majlis juga menyaksikan penandatanganan Perjanjian Persefahaman Friends of BRC antara PBSM Negara Brunei Darussalam bersama lima buah syarikat rakan korporat terdiri daripada Atha Sdn Bhd, Ashcore Sdn Bhd, Biovitality Medical Supplies Sdn Bhd, Traneaire Sdn Bhd dan Ting Sii King Sdn Bhd.
Yang Berhormat Dato juga menyempurnakan perasmian Hab Pengetahuan PBSM (BRC Knowledge Hub) dan Pusat Operasi Kebangsaan PBSM (BRC NEOC).